PERKHIDMATAN PESAWAT HAWK AKAN DITERUSKAN : HISHAMMUDDIN

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani Published 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan setakat ini tidak berhasrat menamatkan perkhidmatan pesawat Hawk 108.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian tidak boleh menghentikan perhidmatannya hanya kerana tragedi yang berlaku pada Khamis memandangkan siasatan terperinci ke atas insiden tersebut masih berjalan.

"Kita perlu tunggu laporan siasatan ke atas pesawat itu secara terperinci dan ia sedang dilakukan. Buat masa ini, perkhidmatan pesawat tersebut akan terus digunakan dalam TUDM. Jenis pesawat Hawk masih lagi digunakan oleh kebanyakan negara lain.

"Kita tidak boleh hanya kerana satu kes, kita (mengambil keputusan) menghentikannya. Saya difahamkan, pesawat yang digunakan semalam baru sahaja menjalani penyelenggaraan dan telah melakukan dua penerbangan," ujar beliau.

Tambah Hishammuddin, apa yang penting ketika ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga kedua-dua juruterbang tersebut dan nasib mereka terbela.

Hishammuddin ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 kepada angkatan tentera yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), Datin Seri Rosmah Mansor.

Comments

Popular Posts