MALAYSIA-BAHRAIN PERLU INTAI PWLUANG TINGKATKAN PERDAGANGAN DUA HALA : TITAH AGONG

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah Malaysia dan Bahrain perlu terus meneroka peluang dan potensi bagi meningkatkan perdagangan dua hala ke arah memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.


Seri Paduka bertitah atas sebab itu, Malaysia menjemput dan menggalakkan sektor swasta kedua-dua negara untuk memainkan peranan lebih aktif mengintai peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Bahrain.

"Beta percaya masih banyak peluang dan manfaat yang boleh digembleng bersama dalam meneroka peluang ekonomi antara kedua-dua negara," titah Sultan Muhammad V.

Yang di-Pertuan Agong bertitah pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara malam ini, bagi meraikan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa yang kini melakukan lawatan negara ke Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan istana berkenaan itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku menteri pengiring.

Terdahulu, Sultan Muhammad V dan Raja Hamad berangkat ke majlis mengadap di Dewan Seri Maharaja.

Sultan Muhammad V seterusnya melahirkan keyakinan bahawa potensi kerjasama bukan hanya wujud melalui bidang perdagangan dan pelaburan.

"Dalam perihal ini, suka Beta menzahirkan bahawa kerjasama dalam bidang pertahanan akan terus menguatkan hubungan antara kedua-dua negara," titah Seri Paduka.

Pada 2016, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Bahrain mencecah RM861.5 juta (US$207.3 juta)

Yang di-Pertuan Agong seterusnya bertitah bahawa lawatan negara seumpama itu memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan pelancongan selain perdagangan.

Sultan Muhammad V gembira melihat kesungguhan kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala.

"Sesungguhnya negara Beta dan Tuanku menikmati hubungan baik dan teguh. Lawatan ini akan menyumbang ke arah peningkatan hubungan persaudaraan antara dua negara serta hubungan peribadi antara pemimpin," titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V bertitah bahawa Malaysia dan Bahrain berkongsi pandangan berhubung isu-isu global khususnya berkaitan isu sejagat dan ummah.

Raja Hamad yang mengadakan lawatan negara atas undangan Sultan Muhammad V, tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan sehingga 3 Mei ini .

Ini adalah lawatan negara pertama baginda ke Malaysia sejak menaiki takhta pada 6 Mac 1999, dan merupakan sebahagian daripada siri lawatan baginda ke rantau Asia Tenggara. - BERNAMA

Comments

Popular Posts