ISU KESELAMATAN, PERRAHANAN JADI FOKUS LAWATAN HISHAMMUDDIN KE CHINA

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 

KUALA LUMPUR: Isu-isu keselamatan dan pertahanan antarabangsa akan menjadi fokus utama lawatan rasmi tiga hari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke China.

Jelas Hishammuddin, beliau akan bertemu rakan sejawatnya Jeneral Chang Wanquan di mana isu yang akan dibincangkan termasuk krisis Korea Utara, pertikaian Laut China Selatan, ancaman pengganas Daish dan keselamatan Laut Sulu.

Katanya, lawatan rasmi itu sekali gus menunjukkan kekuatan hubungan diplomasi ketenteraan di antara kementeriannya dengan China.

"Pada masa sama, saya hendak bincang dengan pucuk pimpinan China berhubung Korea Utara, Laut China Selatan, militan IS dan Daish, berkait kebimbangan kita di Laut Sulu, pentadbiran baharu di Amerika Syarikat (AS) di mana Presiden Xi Jinping pun baru balik dari AS.

"Jadi ini menunjukkan kekuatan hubungan diplomasi ketenteraan kita atau diplomasi Kementerian Pertahanan yang tidak banyak negara mempunyai hubungan sebegitu rupa."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) sempena perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian subkontrak pembinaan Kapal Littoral Mission (LMS) di antara syarikat Boustead dan China Shipbuilding & Offshore International Company (CSOC).

"Perkara-perkara yang kita umumkan semasa lawatan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China mesti ada tindakan susulan.

"(Subkontrak) Kapal Littoral Mission (LMS) mesti dimeteraikan. Saya harap bahawa saya dengan Jeneral Chang Wanquan akan menyaksikan pemeteraian perjanjian itu," katanya.

Kapal misi pesisir itu dijangka siap sepenuhnya dan sedia digunakan dalam tempoh 24 bulan selepas kontrak ditandatangani.

Comments

Popular Posts