DLP TIDAK BERCANGGAH DASAR, IA HANYA PROGRAM : MAHADZIR

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Published 


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara adalah sebahagian usaha memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan program itu tidak bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Tegasnya, program DLP itu hanya dilaksanakan di sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi subjek Bahasa Melayu yang baik.

"Kita memartabatkan Bahasa Melayu, itu wajib, itu dasar dan kita semua tahu. Kalau boleh semua rakyat Malaysia ini merentasi segalanya, mesti bercakap dalam Bahasa Melayu.

"Kita mahu orang Melayu, Cina, India, Portugis, Siam termasuk rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak boleh bercakap dengan baik dalam Bahasa Melayu, itu memperkukuhkan dan memartabatkan.

"Tapi pada masa yang sama, kita hendak juga bahasa yang lain dapat ditingkatkan dan diperkukuhkan. Jadi kita mahu Bahasa Inggeris, Mandarin, Arab termasuk sekolah yang ajar Bahasa Perancis dan Jepun kerana pelbagai bahasa (multilingual) lebih baik," katanya pada sidang media di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di sini hari ini.

Malah, beliau turut bersetuju dengan Resolusi Kongres Budaya 2017 yang mahu Bahasa Melayu dimartabatkan.

"Saya setuju dengan kongres untuk memartabatkan Bahasa Melayu, itu tidak dipersoalkan. Pada masa sama, bagi juga peluang kepada pelajar-pelajar mempelajari bahasa lain," jelasnya.

Pada masa kini, kira-kira 800 sekolah melaksanakan DLP atas persetujuan sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah yang terlibat.

Comments

Popular Posts